Monday, March 1, 2010

Persahabatan

Maksud persahabatan bukanlah kerana hendak berkumpul-kumpul dan bercengkerama,untuk berenak-enak makan dan berpuas-puas minum. bukan berganti-ganti membayarkan harga makanan di warung kopi.Sebab kalau hanya demikian sifat persahabatan,maka tukang-tukang penyeluk saku, pencuri dan pembongkar barang kepunyaan orang lain,bukan main setia persahabatannya; sampai apabila seseorang tertangkap dan masuk penjara,maka yang tinggal itu yang membayar harga makanan untuk anak dan isterinya.

Maksud persahabatan ialah untuk sama-sama memperhaluskan tujuan hidup ,memperdekatkan antara satu jiwa dengan jiwa yang lain yang telah terdapat kesesuaian didalam satu perkara,sehingga dapat didamaikan didalam perkara yang belum cocok. Apabila terdapat kesalahan pada seorang musuh,orang berniat untuk melepaskan sakit hatinya kepada musuh itu dengan jalan membongkar-bongkar kesalahannya dan menghina-hinakannya.

Tetapi apabila terdapat kesalahan pada seorang teman,dapatlah dilakukan teguran dengan jalan yang terus terang dan jujur.Satu teguran daripada seorang sahabat yang setia,pada suatu kesalahan,orang tidak enggan mengubahnya dan surut daripadanya.Tetapi apabila seorang musuh datang menghina disebabkan satu kesalahan,kadang-kadang orang tetap mahu pada kesalahan itu,walaupun apa yang akan terjadi.Itulah sebabnya maka ahli-ahli fikir kerap pusing kepala melihat memikirkan kehidupan dunia ini.

Beberapa syarat untuk mengekalkan persahabatan mengikut cerdikpandai, supaya persahabatan kekal lama usianya sehingga badan hancur dikandung tanah.Hendaklah diketahui bahawa kita bersahabat dengan manusia,bukan malaikat tentu kesalahannya tetap ada padanya.Maka sekiranya mencari sahabat yang yang tidak ada salahnya,atau terus memutuskan persahabatan kerana terdapat padanya kesalahan,alamat didunia ini kita tidak akan mendapat sahabat. Para ilmuan juga berkata,bahawasanya persahabtan yang akan kekal ialah jika kedua belah pihak sudi berkorban untuk yang lain,jangan sampai yang seorang sahaja yang senantiasa disuruh berkorban sedangkan yang seorang lagi tidak mahu.

Orang yang berakal tidak mahu berkawan dengan orang yang rendah budi,sebab orang yang rendah budi umpama ular.Badannya cantik tapi membelit,lidahnya halus tapi bercabang dua,kepalanya tidak runcing tetapi penuh berbisa.Dia masuk kerumah kita diam-diam.Bersahabat jangan kerana mengharapkan sesuatu.Jangan pula kerana takut kena apa-apa.Persahabatan orang budiman sesama budiman,tidak berkehendakan pada pertemuan setiap hari.Sebab ada orang yang bersahabat hanya bertemu sekali seumur hidup,dan ada pula yang tidak pernah bertemu selama-lamanya.

1 comment:

9W2JGR - JOE said...

Sunguh indah kata-kata,
yang tersurat dan yang tersirat.
Apa yang terpapar ini dijadikan renungan untuk semua..
100% SETUJU dan MENYOKONG...